Saturday, June 9, 2012

TRIBULASI PERJUANGAN GERAKAN ISLAM

WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DPPM Category: Manhaj Haraki Published on 08 June 2012 Hits: 106 Tribulasi merupakan ujian daripada Allah Taala kepada hambanya yang beriman dan berjuang pada jalanNya. Telah menjadi lumrah zaman berzaman bahawa setiap pendokong kebenaran itu diuji dan dicuba.Cubaan-cubaan itulah yang akan menjadi neraca perjuangan di sisi Allah sama ada mereka benar-benar menegakkan Islam kerana kebenaran atau berjuang kerana kepentingan material seperti jawatan, harta dan kemegahan. Firman Allah Taala : "Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya." - Surah al Anfal:30 Ujian bagi para pejuang semacam telah menjadi ciri yang khusus. Mana-mana jamaah atau Harakah Islamiah yang bergerak tanpa menempuh sebarang tribulasi kemungkinan jamaah itu ada kecacatan yang perlu dikoreksi dan dinilai kembali. Sesungguhnya orang yang beriman itu memerlukan tribulasi bagi mengukur sejauh manakah kekuatan dan kelemahan iman mereka. Firman Allah Taala : "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" "Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." - Surah al Ankabut:2-3 FirmanNya lagi : "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)." - Surah al Baqarah:214 FirmanNya lagi : "Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu." - Surah Muhammad:31 Bentuk-Bentuk Tribulasi Tribulasi mungkin dalam bentuk kesusahan dan penderitaan yang menghimpit perasaan dan fizikal atau mungkin juga datang dalam bentuk kesenangan dan kemewahan yang menggembirakan hati. Selalunya ramai orang yang berjaya dengan ujian kesusahan tetapi rosak binasa dengan ujian kesenangan. Antara tribulasi-tribulasi yang digariskan sejak dahulu sampai sekarang ialah : Penyeksaan yang menyakitkan hati yang datang daripada pendokong kebatilan. Ujian isteri dan keluarga. Takut mereka diseksa dan diuji dengan sebabnya. Ujian kekayaan dunia yang melimpah. Ujian merasa diri dagang dan keseorangan sedangkan orang ramai tidak menyokong malah bermuafakat menentangnya. Ujian ke atas nyawa. Ujian perpecahan umat dan negara. Ujian tekanan hawa nafsu dan keinginan. Ujian hendak kekal di dunia ini. Ujian malas untuk berjuang. Ujian rindu kepada harta dan pangkat. Ujian susah untuk istiqamah di atas jalan Islam kerana banyak godaan. Ujian kejayaan lambat dicapai. Tribulasi Sepanjang Zaman Kita melihat dalam sejarah satu rangkaian tribulasi yang tidak pernah putus bermula daripada Nabi Adam A.S sampailah kepada pendokong kebenaran sekarang ini yang menyambung risalah para rasul. Para Rasul dan Mursalin merupakan golongan yang paling banyak menghadapi ujian dan tekanan yang sangat berat. Tribulasi Para Nabi Nabi Adam A.S berhempas pulas di zamannya dalam menghadapi tipu daya syaitan. Baginda dan Siti Hawa terpaksa turun ke dunia ekoran daripada angkara syaitan itu. Di dunia ini baginda berhadapan pula dengan ujian dalam bentuk yang lain selaku khalifah Allah. Nabi Ibrahim A.S berhadapan dengan Namrud. Baginda berjuang menegakkan kebenaran tanpa pengikut dan penyokong yang ramai. Baginda terpisah daripada keluarganya. Akhirnya dicampak ke dalam api. Nabi Musa A.S berhadapan dengan Firaun. Semasa kecilnya dihanyutkan ke sungai. Dalam menyatakan kebenaran Baginda ditentang dan diburu oleh Firaun dan pengikut-pengikutnya. Nabi Isa pula berhadapan dengan kaum Yahudi yang zalim. Baginda menghadapi tentangan hebat dalam seruan dakwahnya. Kemuncaknya terdapat cubaan membunuhnya. Walau bagaimanapun, baginda diselamatkan oleh Allah Taala tetapi Yahuza Ishkariot yang terlibat dalam perancangan membunuhnya itu disalib oleh kaumnya sendiri. Nabi Nuh A.S berjuang menyeru manusia agar beriman kepada Allah Taala hampir seribu tahun. Beliau ditentang oleh kaumnya dengan hebat. Malah ujian yang paling besar ialah apabila isteri dan anaknya sendiri menolak seruan baginda itu. Nabi Ayub A.S diuji oleh Allah Taala dengan berbagai-bagai ujian. Dari seorang kaya menjadi miskin dan anak-anaknya pula dimatikan oleh Allah Taala. Selepas itu diuji dengan penyakit kulit selama 7 tahun sehingga ramai kawan-kawannya menjauhkan diri daripadanya. Rasulullah S.A.W merupakan orang yang paling hebat diuji oleh Allah Taala. Musuh-musuh Islam menggunakan taktik dan strategi untuk melemahkan perjuangan Rasulullah S.A.W seperti tuduhan, fitnah, rintangan, penyeksaan, maki hamun yang menyeksakan jiwa dan serangan fizikal sehingga membawa kepada cubaan untuk membunuhnya. Baginda pernah luka dan patah gigi kerana perjuangan menegakkan Islam. Tribulasi Para Sahabat Para sahabat yang bersama Rasulullah SAW juga menghadapi tribulasi. Mereka mengalami pelbagai jenis penyeksaan dan tekanan kerana pegangan mereka yang kukuh terhadap Islam. Walau bagaimanapun, tribulasi itu tidak sedikitpun menggugat keimanan mereka sebaliknya keimanan mereka semakin meningkat. Bilal R.A dijemur di tengah padang pasir yang panas dan diletakkan batu besar di atas dadanya oleh tuannya, Umaiyyah bin Khalaf. Dengan berbuat demikian diharapkan Bilal meninggalkan Islam. Sebaliknya pegangan Bilal menjadi semakin kukuh. Keluarga Yasir R.A menerima ujian yang hebat apabila memeluk Islam. Mereka dibakar oleh Bani Makhzum dengan besi yang panas. Yasir R.A yang telah lanjut usianya itu syahid kerana tidak dapat bertahan. Anaknya Ammar R.A menderita dipanggang tubuhnya. Manakala ibunya Sumayyah disula punggungnya dengan kayu sampai syahid. Khubaib bin 'Adie syahid dicincang tubuhnya oleh lembing 40 orang musyrikin kerana mempertahankan Islam. Khubaib meletakkan kecintaan kepada Allah Taala dan Rasulullah S.A.W lebih daripada dirinya sendiri dan keluarganya. Tribulasi Para Tabi'en Said bin Jubair, seorang ulama' yang hidup di Iraq semasa pemerintahan Hajjaj bin Yusuf at Thaqofi telah dibunuh kerana ketegasannya. Sikapnya yang tidak bertolak ansur dengan pemerintahan yang zalim menyebabkan beliau ditangkap dan didera. Akhirnya disembelih di atas sekeping kulit binatang. Bagaimanapun kemudiannya Hajjaj ditimpa sakit dan sempat hidup hanya 15 hari sahaja selepas peristiwa itu. Imam Malik bin Anas R.A didera sebanyak 60 hingga 70 rotan. Kemudian diikat dengan tali dan dinaikkan di atas punggung unta lalu diarak mengelilingi Madinah. Beliau didera kerana mengeluarkan fatwa bahawa talak di antara suami isteri yang dipaksa itu tidak sah dan sumpah yang dipaksa itu juga tidak sah. Gabenor Madinah, Jaafar bin Sulaiman al Hasyimi mengarah beliau menarik fatwa itu tetapi beliau bertegas dengan pendiriannya. Imam as Syafie ditangkap di Yaman semasa pemerintahan Harun al Rasyid kerana dituduh menyokong Syiah. Beliau diperintah berjalan kaki dari Yaman ke Baghdad dalam keadaan tangan dirantai. Beliau mengambil masa 2 bulan perjalanan untuk sampai ke Baghdad. Di situ beliau dipenjarakan sebelum diadili. Imam Ahmad bin Hanbal didera dengan cemeti 38 kali sampai badan berdarah dan pengsan. Kemudian dipenjarakan di zaman pemerintahan Khalifah al Ma'mun. kerana tidak mahu mengikuti pendapat bahawa al Quran itu adalah makhluk. Di zaman itu fahaman mu'tazilah yang dipelopori oleh Wasil bin Ata' berkembang dan dilindungi oleh pemerintah. Imam Abu Hanifah diseksa dan dicambuk sebanyak 110 kali di zaman khalifah Abu Jaafar al Mansur. Beliau ditangkap oleh gabenor Iraq, Yazid bin Amir kerana tidak bersedia menerima jawatan Qadi. Beliau takut takut menerima jawatan rasmi itu kerana bimbang tidak dapat menjaga kesucian jiwa agama pada peribadinya. Beliau merasa lebih bebas berdakwah di luar forum pemerintah. Akhirnya beliau dipenjarakan dan lehernya dirantai dengan besi yang berat. Setiap pagi beliau didera dengan cemeti sampai berdarah. Ibunya dibawa masuk memujuknya di dalam penjara, tetapi ditolaknya juga jawatan tersebut. Akhir sekali beliau dipaksa untuk meminum air yang mengandungi racun dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika sujud kepada Allah. Imam an Nawawi dibuang negeri kerana ketegasannya. Negeri Syam (Syria) ketika itu dilanda kemelesetan ekonomi sehingga rakyat berada dalam penderitaan. Raja Zahir Baybers memaksa rakyat yang miskin itu menghulurkan wang untuk tabung persediaan perang. Bagi Imam an Nawawi tindakan itu adalah zalim dan perlu ditentang. Dengan sebab itu beliau menjadi mangsa kezaliman raja. Ibnu Taimiyyah dipenjara beberapa kali kerana ketegasannya menyatakan kebenaran. Ulama' kerajaan menfitnah dan menentangnya dengan penuh kebencian. Hukuman paling kejam yang pernah dirasakan apabila kitab dan alat tulisnya dirampas dan dikeluarkan dari kamar penjara. Beliau meninggal dunia di atas tikar solat ketika membaca al Quran setelah jatuh sakit lebih dari 20 hari di dalam penjara. Tribulasi Pejuang Masakini Imam Hassan al Banna adalah pengasas gerakan Ikhwan Muslimin 1928 di Mesir. Beliau bergerak di tengah-tengah masyarakat menyampaikan Risalah Islamiyyah. Perjuangannya menjadi sumber inspirasi kepada kebanyakan gerakan Islam masakini. Perjuangan meruntuhkan jahiliyyah dicemburui dan dicurigai oleh pemerintah dan penjajah. Lalu gerakan Ikhwan menghadapi tekanan dan penindasan yang berterusan. Kemuncaknya ialah peristiwa beliau ditembak oleh agen pemerintah pada 13 Februari 1949. Syed Qutb adalah salah seorang anggota al Ikhwan yang mahsyur dengan kitabnya "Fil Zilaalil Quran". Beliau banyak menghasilkan karya yang bermutu yang menjadi sumber rujukan seluruh dunia. Beliau merupakan keluarga pejuang. Antara saudaranya yang pernah menghadapi tribulasi ialah Muhammad Qutb, Fatimah Qutb dan Hamidah Qutb. Beliau telah beberapa kali ditangkap dan dipenjarakan tetapi kemudiannya dibebaskan. Antara yang berusaha untuk membebaskannya ialah Presiden Iraq, Abd al Salam Arif. Kemuncak tribulasinya ialah penangkapan beliau secara beramai-ramai sejumlah 46 000 anggota al-Ikhwan 1965. Pada 1966 beliau telah dihukum gantung. Tribulasi Perjuangan PAS Jamaah Islamiyyah bagi umat Islam di Malaysia ini ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS). Ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 di Butterworth, Seberang Perai hasil dari kesedaran para ulama' dan pencinta Islam. Dalam usianya yang menjangkau 57 tahun itu PAS menempuh alunan dan gelombang yang penuh dengan pahit maungnya. Tribulasi kepada para pemimpinnya dan kepada tubuh parti itu sendiri telah dialami selama 5 dekad dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah : PAS tidak dibenarkan memakai simbol bulan bintang - simbol asalnya yang menawan hati umat Islam. Perkara ini berlaku pada zaman Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri. Lalu simbolnya ditukar kepada bulan purnama sebagaimana sekarang. Penyokong-penyokong PAS ditekan di semua peringkat. Bantuan dan subsidi tidak diberi. Kakitangan kerajaan ditukar ke tempat yang jauh dan tidak dinaikkan pangkat. Juga berlaku diskriminasi. Membentang Rang Undang-undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. Lanjutan daripada itu membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan PAS di Kelantan. Pembunuhan penyokong dan pemimpin PAS. Pembunuhan wakil rakyat PAS Kelantan, Abdul Samad Gul adalah misteri. Pembunuhannya tidak diadili sampai ke hari ini. Begitu juga kes pembunuhan ke atas Osman Talib di Lubuk Merbau, Kedah 1985. Peristiwa pembunuhan Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya di Memali, Kedah 1985 juga menjadi tanda tanya. Wang kebajikan PAS yang dirampas antara RM15000-RM20000 belum dipulangkan. Penangkapan para pemimpin PAS. Dr Burhanuddin al Helmi ditahan sekian lama dalam penjara dan berakhir dengan kematiannya pada tahun 1969 setelah lama menderita akibat penyeksaan yang dikenakan ke atas beliau semasa dalam tahanan. Pada tahun 1984 seramai 3 orang exco Dewan Pemuda PAS Pusat ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka terdiri dari Ustaz Abu Bakar Chik (Adun Jeram, Terengganu), Mohamad Sabu dan Bunyamin Yaakob. Kemudian diikuti dengan Operasi Lalang 1987. Pada 1988 beberapa orang lagi ahli PAS ditahan di bawah Operasi Kenari. Pemimpin PAS keluar jamaah merupakan satu kemalangan. Walaupun keahlian PAS tidak terjejas dengan tindakan mereka, tetapi maruah sebagai sebuah jemaah Islam terjejas. Sekiranya ada di kalangan pemimpin peringkat bawahan yang keluar jemaah, ianya kurang dipersoalkan. Tetapi apabila pimpinan utama seperti bekas YDP Hj Ahmad Fuad Hassan, Dato' Asri Hj Muda, bekas Setiausaha Agong Ustaz Othman Abdullah, NYDP Nakhaie Hj Ahmad, bekas Ketua Muslimat seperti Khadijah Sidek, Sakinah Juned, Salmah Sheikh Hussin dan lain-lain yang terbaharu seperti Dato' Hassan Ali yang menyebabkan masyarakat menjadi gempar seketika. Perpecahan dalaman juga merupakan satu tribulasi. Tertubuhnya BERJASA pimpinan Dato' Mohd Nasir 1978, HAMIM pimpinan Dato' Asri Muda 1983 dan kemudian ISLAH 1989 menyebabkan PAS terpaksa berhadapan dengan banyak musuh yang berasal daripada kawan- kawan sendiri. Tribulasi Sebagai Tarbiyah Ujian dapat membersihkan diri orang-orang beriman supaya keimanan mereka semakin mantap dan bertambah kuat serta dedikasi di dalam perjuangan Islam. Dengan itu mereka dapat menunaikan amanah dengan sebaik mungkin. Tribulasi mendidik pejuang menjadi lebih tangkas dan berkeazaman yang kuat. Sesungguhnya dakwah yang benar tidak mungkin berdiri di atas kemudahan dan tidak boleh dibeli dengan murah. Tribulasi melahirkan manusia yang kuat jiwanya dan mampu membawa kebangkitan Islam di zaman ini. Mereka memperolehi ilmu, pengalaman dan contoh tauladan yang baik yang telah ditinggalkan oleh para pejuang itu. Tribulasi mendidik generasi menjadi sabar. Para mujahid yang gugur dan bertahun-tahun disiksa di dalam penjara menjadi sumber inspirasi dan lambang pengorbanan dan ketahanan generasi baru. Mereka akan mengambil contoh daripada pengorbanan itu. Tribulasi Sebagai Saringan Tribulasi penting dalam kehidupan manusia ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berjuang pada jalan Allah Taaa. Dalam kehidupan ini ada orang berjuang kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan ada yang berjuang kerana merebut peluang kebendaan atau keduniaan. Dengan adanya ujian, maka kedua-dua golongan ini akan dapat diasingkan. Yang mencari kepentingan duniawi tidak sanggup dan bersedia untuk menghadapi susah payah. Orang yang ikhlas sahaja mengharungi segala cubaan dan ujian. Dengan hal demikian, dapat dikenalpasti siapakah yang munafiq yang berada di dalam jemaah Islam. Jumlah yang ramai tetapi menjadi duri dalam daging akan mendedahkan jemaah kepada bahaya. Bagaimana Menghadapi Tribulasi? Pendokong Islam hendaklah tabah dan gigih menghadapi sebarang cabaran dan tekanan. Pendokong Islam jangan bertindak mengikut emosi, tetapi mestilah mengikut peraturan dan panduan yang ditetapkan oleh syara'. Mengatur strategi dengan baik dalam menghadapi musuh supaya mereka tidak mempunyai ruang yang banyak untuk memukul pendokong Islam. Mendidik dan membina jiwa dengan ketahanan menerusi latihan-latihan kerohanian yang dapat meningkatkan ketahanan jiwa dari masa ke semasa. Pendokong Islam hendaklah bersedia mengorban apa sahaja. Hendaklah dilatih dengan semangat berkorban sepanjang masa. Pendokong Islam hendaklah matang, iaitu pandai mengukur dan menilai di antara yang merugikan dan yang menguntungkan dalam perjuangan. Pendokong Islam hendaklah ditanam bahawa mati syahid di jalan Allah Taala merupakan semulia-mulia bentuk kematian. Jihad hendaklah dipupuk dari masa ke semasa. Pendokong Islam hendaklah diingat bahawa pangkat dan harta itu tidak kekal. Setiap harta yang dimiliki akan dihisab oleh Allah Taala. Pendokong Islam hendaklah diingat bahawa ujian di dunia ini mungkin ada kebaikan. Sekurang-kurangnya menimbulkan keinsafan. Pendokong Islam hendaklah ikhlas. Segala-galanya tidak berguna kalau tidak bersendikan keikhlasan. Kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara sahaja. Ujian mempunyai hikmah untuk membezakan di antara seorang yang benar dengan yang berdusta. Di antara orang yang benar-benar beriman dengan yang munafik. Di antara orang-orang yang sabar dengan yang berjihad. Dengan itu akan nyatalah keadilan Allah Taala tatkala diberi balasan yang setimpal kepada tiap-tiap golongan. Orang yang tidak pernah menghadapi ujian atau tribulasi hendaklah kembali memeriksa sikap dan langkah mereka kerana kemungkinan besar telah tersalah jalan dari jalan yang sebenamya. Tribulasi dalam perjuangan adalah sunnatullah dan undang-undang Allah Tala yang mesti berlaku. Bukanlah akibat daripada sesuatu kesalahan.

Tuesday, May 22, 2012

Amal Jamaie Dan Tuntutannya

MUQADIMAH Amal Jamaie adalah di antara ciri utama Harakah Islamiyyah. Malahan, tanpanya akan hilanglah kepaduan dan keseragaman di dalam tindakan harakah. Ia mempunyai cirri-ciri tertentu yang membezakan dengan sebarang aktiviti berkumpulan dan ianya hanya akan dapat dilakukan di dalam konteks sebuah jamaah. Perlu diberi penekanan bahawa amal jamaie adalah satu tuntutan syari’e khususnya dalam gerakan da’wah dan perjuangan Islam seluruhnya. Firman Allah swt: Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran. Merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan” (Surah Ali Imran : 104) HUKUM AMAL JAMAIE’ Tuntutan terhadap amal jamaie tidak seharusnya dipandang ringan dengan melihat beberapa penegasan yang telah diturunkan oleh syariat Allah sama ada melalui Al-Qur’an dan as-Sunnah dan kaedah Usul Fiqh. 1. Al-Qur’an Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad saw supaya memberitahu manusia bahawa amal jamaie itu adalah kerja nabi dan pengikutnya. Allah telah berfirman: Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku menyeru manusia kepada umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas dan nyata, dan aku menegaskan maha Suci Allah dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain” (Surah Yusuf : 108) Firmannya lagi di dalam al-Qur’an: Maksudnya: “Seungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh” (Surah as-Soff: 4) 2. As-Sunnah Kita akan dapat melihat dengan jelasnya tuntutan sunnah supaya bekerja secara amal jamaie apabila kita meneliti hadith berikut: Maksudnya: “seungguhnya syaitan itu serigala kepada manusia seperti serigala kambing jua. Ia menangkap mana-mana kambing yang jauh dan terpencil. Maka kamu berjemaah dan bercampur dengan orang ramai serta menghadiri masjid” Sabdanya lagi: Maksudnya: “Wajiblah kamu bersama-sama dengan jamaah orang-orang muslimin dan pimpinan mereka” 3. Kaedah usul Fiqh Kerja da’wah ini sangat besar, tidak mampu dilakukan secara individu dan tentulah ia terlebih dahulu memerlukan usaha jamaie berdasarkan kaedah fiqh: Maksudnya: “sesuatu yang tidak sempurna yang wajib melainkan dengannya, maka ianya juga menjadi wajib” PENGERTIAN AMAL JAMAIE Amal jamaie dapat diertikan sebagai satu usaha secara berjemaah atau kegiatan yang lahir bersumberkan dari satu jamaah yang teratur (berorganisasi) menurut dan menepati manhaj dan skima tertentu menjurus ke arah matlamat yang tertentu. Untuk penelitian yang lebih mendalam, perlulah dihuraikan beberapa anasir amal jamaie di dalam pengertian tersebut iaitu: 1. Amal yang diputuskan oleh jamaah. 2. Jamaah yang munazzamah (teratur). 3. Menurut manhaj yang tertentu dan kaedah-kaedah pencapainya. 4. Untuk mencapai matlamat yang tertentu. 1. AMAL YANG DIPUTUSKAN OLEH JAMAAH Amal yang dimaksudkan disini ialah semua kegiatan jamaah sama ada luaran atau dalaman. Ia akan menjadi amal apabila diputuskan oleh jamaah dan dilakukan di atas keputusan jamaah yang diberi mandate oleh jamaah untuk membuat sesuatu keputusan. Sebahagian daripada amal jamaah diperingkat luaran ialah seperti menerbitkan sebaran am, menulis majalah atau akhbar, mengadakan perjumpaan, menziarahi orang-orang tertentu, mengadakan tunjuk perasaan (demonstrasi), mengadakan kelas pelajaran dan lain-lain yang diterima oleh syara’. Syarat-syarat Amal Jamaie a) Amal tersebut tidak disyaratkan kepada semua anggota jamaah agar terlibat sama, malah mencukupi dengan dilakukan oleh sebahagian daripadanya sahaja. Walaupun demikian, dalam semua keadaan amal yang dilakukan itu diputuskan oleh jamaah dan mendapat persetujuan yang jelas dari jamaah. b) Amal yang diputuskan itu hendaklah menepati syara’. Apabila amal itu diterima syara’, maka tidak perlulah lagi dipertikaikan jenis, kadar, masa amal tersebut. Termasuk dalam amal yang disyariatkan ialah semua amal yang diharuskan oleh syariat dalam keadaan darurat atau yang diharuskan kerana rukhsah. c) Amal yang diputuskan oleh jamaah mestilah disertakan dengan niat yang baik dan ikhlas dan dilakukan semata-mata kerana Allah. d) Amal yang dilakukan mestilah disertakan dengan muqarabah bkepada Allah, berjihad melawan nafsu agar amal tersebut tidak ditulari oleh sifat-sifat syirik dan riya’. 2. JAMAAH YANG MUNAZZAMAH (TERATUR) Jamaah yang membuat keputusan terhadap sebarang amal jamaie itu mestilah berada dalam satu tanzim yang kemas, teratur dan berencana serta berstrategi, unsur ini merupakan suatu yang asasi dan dharuri bagi mana-mana jamaah yang mempunyai matlamat tertentu. Tanpa tanzim, jamaah tidak akan berjaya dalam gerak kerjanya. Terdapat beberapa aspek yang perlu wujud dalam jamaah munazzamah: a) Baiah Iaitu janji taat setia ahli jamaah kepada pimpinan untuk taat dan hidup di atas landasan yang ditentukan oleh jamaah dalam memperjuangkan Islam. Baiah hendaklah diberikan dengan kefahamn yang jelas tentang setiap aspek jamaah dengan keyakinan yang tinggi dan disusuli dengan iltizam kepada jamaah. b) Imarah Kepimpinan merupakan cirri asas dalam jamaah Islam. Adanya baiah beerti adanya kepimpinan. Dalam konteks sebuah jamaah, kepimpinan mestilah dipilih oleh jamaah dan ia mampu, cekap dalam melaksanakan tugas serta amanah dalam mentadbir menurut lunas-lunas Islam. c) Ta’at Bai’ah adalah untuk memastikan ketaatan kepada jamaah. Pendokong dan ahli jamaah wajib mentaati pemimpin terutamanya dalam melakukan amal jamaie. d) Musyawarah Pemimpin bertanggungjawab menjalankan syura kerana ia adalah tuntutan syara’ bagi menjamin perkembangan jamaah berjalan dengan baik. 3. MANHAJ Manhaj ialah methodology atau kumpulan tindakan-tindakan atau perencanaan-perencanaan yang digunakan oleh harakah Islamiyyah untuk mencapai matlamatnya. Ia mestilah dibentuk berlandaskan kepada sumber-sumber berikut: a) Al-Qur’an b) Sunnah Rasulullah c) Sirah para sahabat. d) Pendapat fuqaha’. e) pengalaman para duat. Perlu dijelaskan disini bahawa manhaj itu dibentuk berdasarkan kepada prinsip-prinsip berikut: a. berusaha sedaya upaya menyelaraskannya dengan kehendak-kehendak syara’. Pencapaian matlamat yang murni hendaklah melalui jalan yang murni juga. Oleh itu, islam tidak menerima dasar matlamat menghalalkan cara. b. Hendaklah bersesuaian dengan kemampuan jamaah dan suasana. c. Bersedia untuk mengalami proses ubah suai jika keadaan memerlukan. d. Dasar beransur-ansur dalam perlaksanaan. e. Hazar dan waspada. 4. MATLAMAT Jamaah adalah satu wadah untuk mencapai dakwah. Amal jamaie sebagai satu program pengembelingan tenaga kea rah menjayakan aspisari perjuangan suci ini sudah tentu matlamatnya ialah untuk menegakkan Uluhiyyah Allah dengan mengajak manusia mengabdikan diri kepadaNya. PENUTUP. Keperluan dan kepentingan bekerja secara amal Jamaie sebenarnya dapat dirasakan apabila mencburkan diri dalam gerak kerja di dalam harakah Islamiyyah. Teori yang tersebut di atas diharap dapat dipraktikkan dan bukan hanya bahan perbincangan intelektual semata-mata dan sekadar mengisi ruang-ruang waktu kursus. < karangan Ustaz Yahya Othman >

Sunday, May 20, 2012

Usrah: Beramal untuk Islam itu wajib

 Almarhun Ustaz Fathi Yakan mengingatkan umat Islam tentang kewajiban beramal untuk Islam. Beramal untuk Islam tidak hanya dalam ibadat ritual solat, puasa, zakat, haji yang difahami oleh sesetengah orang Islam tapi dalam konteks yang syumul iaitu melahirkan individu muslim sejati, keluarga, masyarakat dan negara yang tunduk kepada Allah dalam ertikata sebenar. Perkara ini dikupas dalam buku ‘Apa Erti Saya Menganut Islam’ pada bahagian 2 bab 2 dengan mengemukakan beberapa hujah. Saya membuat kesimpulan dari perbincangan usrah yang diadakan:meyakini beramal untuk Islam itu wajib (133)  beramal secara individu dan jemaah, amal jihad kembali kpd mujahid (86) , wajib dari bbrp sudut (2) ,
Bahagian 2: Bab 2: Saya Mesti Meyakini Beramal Untuk Islam Itu Wajib

Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini.
Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan untuk amalan-amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.
Selagi kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.
Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:

Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda’).

Beramal atau bekerja untuk (menegakkan seluruh ajaran) Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia, didahului oleh para Nabi dan para Rasul kemudian ke atas umat manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat kelak.
Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr, Ayat: 1 – 3).
Dan firman Allah bermaksud:
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. (Al-Maaidah, Ayat: 67).
Dan firman Allah bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk (Al-Baqarah, Ayat: 159).
Dalam sunnah Rasulullah s.a.w yang mulia terdapat riwayat-riwayat yang mempunyai hubungan secara khusus tentang dakwah kepada kebenaran dan menentang kebatilan. Di antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan – kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi”
(Hadis riwayat Tirmizi).
Sabda baginda yang lain:
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Perintahlah (manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang makruf (yang baik) dan cegahlah mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi”.
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Sabda Rasulullah s.a.w lagi:
“Apabila engkau melihat umatku takut untuk berkata kepada orang yang melakukan kezaliman: Wahai penzalim! Maka sesungguhnya dia telah mengucapkan selamat tinggal baginya”.
(Hadis riwayat Hakim).

Kedua: Wajib dari Sudut Hukum.

Beramal untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari Al-Quran yang menyebut bermaksud:
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(An-Nisa’, Ayat: 65).
Dan firman Allah bermaksud:
Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan). (Asy-Syura, Ayat: 10).
Begitu juga firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.
(Al-Maaidah, Ayat: 44).
Firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Al-Maaidah, Ayat: 45).
Firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.
(Al-Maaidah, Ayat: 47).
Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah itu hukumnya wajib maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksananya hukum Allah turut menjadi wajib berdasarkan kaedah syarak bermaksud:
‘Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib’
Sebahagian besar dari negara-negara (umat) Islam, kalau pun tidak dapat dikatakan seluruhnya diperintah oleh sistem-sistem ciptaan manusia yang merupakan campur aduk dari sistem undang-undang Rumani, Yunan, Perancis dan sebagainya. Demikian juga sistem ekonomi yang menguasai negara-negara tersebut adalah sistem ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme. Ini adalah penyebab utama yang mendesak umat Islam supaya menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliah dalam bentuk seperti ini dan kewajipan mengembalikan kehidupan Islam adalah menjadi fardu ain ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali ke pangkuan Islam.
Selain dari itu masih banyak kewajipan-kewajipan syariah yang perlaksanaan dan amalannya bergantung kepada adanya khalifah atau Imam sedangkan pelantikan Khalifah (Imam) itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam. Oleh itu seluruh undang-undang yang berkaitan dengan sistem-sistem Islam sama ada di dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, politik malah kesemua undang-undang yang berkadengan hukum, kanun keseksaan, perdamai, peperangan, jihad, gencatan senjata, perjanjian damai, muamalat, kemasyarakatan dan ekonomi, semuanya ini dan sebagainya adalah di antara bidang-bidang Syariat Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah negara yang teguh di atas dasar-dasar Islam.

Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).

Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam.
Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.
Kita dapati banyak negara-negara (Umat Islam) yang mengadu dan merintih dengan penuh penderitaan kerana dikuasai oleh keserakahan orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestine, Kashmir, Eitrea, Qibrash, Bukhara, Samarkand dan lain-lain.
Manakala beberapa negara lain pula menderita kerana cengkaman kuasa golongan minoriti yang berniat jahat ke atas umat Islam, mereka memerintahkan Umat Islam dengan kekuatan besi dan api.
Kita dapati juga beberapa bahagian dari negara Umat Islam yang lain mengadu mengenai penderitaan mereka yang disebabkan oleh kekuasaan parti-parti puak kiri (yang terdiri dari sosialis dan komunis) atau puak kanan (yang berkefahaman kapitalis) dalam negara mereka. Begitu juga keadaan hidup di beberapa tempat yang lain yang berada di dalam suasana pertumpahan darah yang hebat hasil dari perebutan kuasa di antara kekuatan puak kiri dan puak kanan.
Selain dari hal-hal yang tersebut di atas, sebenarnya betapa perlunya amal Islami sekalipun secara darurat, dari menyahut cabaran-cabaran dari dalam yang berupa kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong musuh Islam. Firman Allah bermaksud:
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.
(Al-Anfaal, Ayat: 39).

Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.

Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.
Firman Allah s.w.t bermaksud:
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu?
(Surah Al-Muddaaththir, Ayat: 27).
Firman Allah lagi bermaksud:
Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.
( Maryam, Ayat: 95).
Firman Allah lagi bermaksud:
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu.
(Al-Israa’, Ayat: 7).
Firman Allah lagi bermaksud:
Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
(Al-An’aam, Ayat: 164)
Firman Allah lagi bermaksud:
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri.
(Al-’Ankabuut, Ayat: 6).
Supaya orang lain itu semuanya turut serta dalam kerja-kerjanya membina masyarakat dan memakmurinya iaitu dengan membina kehidupan masyarakat atas dasar kebenaran (Al-Haq) dan memakmurkan dengan kebaikan, maka Islam telah menentukan ke atas setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan mereka untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selama mana insan itu berada dalam keadaan baligh, akal yang sihat dan ada kemampuan. Dari pengorbanan seperti ini akan menjadikan masyarakat Islam itu sebagai sel yang hidup dan bernyawa dalam badan. Setiap individu dalam masyarakat ini akan memberikan sesuatu malah mereka berlumba-lumba untuk berkorban.
Dari kenyataan di atas jelaslah bahawa kewajipan beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam oleh individu adalah sama seperti kewajipan-kewajipan syarak yang lain iaitu ia adalah satu kewajipan Islam.
Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam adalah kewajipan individu (fardi) dari sudut ini maka ia juga adalah satu kewajipan secara jama’ie (organisasi) apabila dilihat dari sudut tanggungjawab gerakan dan dari sudut perlaksanaannya. Kenyataan ini dibuktikan oleh realiti-realiti yang berlaku dan keadaan-keadaan yang pada dasarnya tidak dapat dipertikaikan lagi.
Di antara realiti-realiti tersebut ialah:
1. Sebenarnya taklif atau tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh orang perseorangan kerana matlamat amal Islami adalah untuk meruntuhkan jahiliah hingga ke akar umbinya lalu di atas runtuhan itulah ditegakkan Islam. Tugas yang berat ini menurut pengorbanan, kemampuan dan kesanggupan yang tidak mampu dilakukan secara perseorangan bahkan tugas ini tidak mampu dipikul sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala penderitaan. Tanggungjawab ini hanya mampu dipikul oleh gerakan yang tersusun, yang memiliki kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi jahiliah yang wujud.
2. Sesungguhnya usaha kerja Rasulullah s.a.w dalam rangka menghadapi serangan jahiliah dan kemudiannya menegakkan masyarakat Islam serta mengembalikan kehidupan mengikut lunas-lunas Islam merupakan dalil dan bukti bekerja secara berjemaah untuk menegakkan Islam adalah wajib. Oleh yang demikian Rasulullah s.a.w tidak menggunakan cara bekerja secara individu di dalam bertindak, malah sejak dari awal-awal lagi baginda begitu mengambil berat kepada usaha-usaha menubuhkan jemaah dengan memilih anasir-anasir pembinaannya dangan teliti. Kemudian baginda s.a.w membentuk dan membersihkan mereka sehingga menjadi satu kekuatan dalam proses perubahan yang baginda s.a.w lakukan.
Inilah yang telah dibuktikan oleh perjalanan sirah Rasulullah s.a.w dalam setiap peringkat dan lapangan.
3. Selain dari itu amal dan gerak kerja untuk menegakkan Islam dipenuhi dengan halangan ranjau dan duri, ujian dan cubaan. Halangan-halangan yang menunggu di jalannya sangatlah banyak. Kuasa-kuasa asing yang saban waktu menunggu kesempatan memukul umatnya juga adalah banyak. Semua cabaran-cabaran ini menuntut kewujudan sebuah tanzim haraki (penyusunan gerakan jemaah) yang menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti untuk menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta kemungkinan-kemungkinan yang mendatang.
Dari ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w terdapat banyak dalil-dalil yang secara nyata menunjukkan beramal secara berjemaah yang kemas tersusun untuk menegakkan Islam adalah merupakan satu perkara penting.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(Surah Al-Maaidah, Ayat: 2).

Kelima: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.

1. Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab.
Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan merekyang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.
(Al-Ankabuut, Ayat: 6).
Allah s.w.t juga berfirman bermaksud:
Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.
(Surah Muhammad, Ayat: 38).
2. Mereka juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana pegangan mereka kepada Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya tidak bersama Islam (sama seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu). Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan dengan mereka menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dan terus kekal dalam jemaah yang berkenaan. Sesiapa yang mengasingkan diri dia akan keseorangan di dalam azan neraka. Sesiapa yang menyatukan dirinya secara benar dengan kumpulan tersebut bererti dia telah bergabung dengan nasab keturunan yang mulia mengikat diri dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang mendapat nikmat di sisi Allah s.w.t.
3. Para petugas amal Islami juga mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dengan jemaah adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya)”.
Masyarakat yang dipenuhi dengan fitnah tidak ubah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau tidak terjejas dengan kesan-kesan kotoran masyarakat tersebut sekiranya tidak menerima peringatan, nasihat dan ingat memperingati.
bermaksud:
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
(Az-Zaariyaat, Ayat: 55).
Allah s.w.t berfirman lagi bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-Asr, Ayat: 1 – 3).
Oleh yang demikian mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman. Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Tuhan yang Maha Pengasih dan terus hidup bersama mereka buat selama-lamanya.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(Surah Al-Kahfi, Ayat: 28).
4. Para petugas amal Islami juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana Allah dan berjihad pada jalannya. Mereka juga mesti memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang paling jauh, penuh dengan kesukaran. Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini manakala mereka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang menarik syahwat.
Jalan ini merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, mereka yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup. Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan wang ringgit dan harta benda, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja sedangkan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ia tidak mengerti (kedudukan yang sebenarnya) dan jalan ini juga tidak sanggup dilalui oleh mereka yang tidak bersedia untuk tunduk kepada keputusan jemaah dan tidak sanggup pula beriltizam dengan pandangan-pandangan jemaah.
Sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri, jalan kerahmatan dan kemuliaan. Jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan dan kehormatan dan jalan kebenaran dan keikhlasan. Sesungguhnya jalan yang mempunyai sifat-sifat seperti ini tidak akan sanggup dilalui melainkan oleh orang-orang mukmin yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah yang Maha Esa, yang menggantungkan harapan dan pertolongan kepadanya.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(At-Talaaq, Ayat: 126).
Allah s.w.t berfirman lagi bermaksud:
Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.
(Al-Fath, Ayat: 10). - http://www.niknasri.com/

Sunday, February 27, 2011

Nota Buat Kekasih Allah...

Tidak dapat diungkap dgn kata2,
sedih mengenangkanmu ,
sedih mengenang pahit getir perjuanganmu,
terharu mengenang kasih sayangmu kpd ummatmu,
maafkan daku kadang2 melupakanmu,
maafkan daku kadang2 menduakanmu,
mencintai insan lain lebih dari mencintaimu,
maafkan daku tidak sempurna mengamalkan sunnahmu,
maafkan daku tidak sempurna menyingkap sirah hidupmu
maafkan daku tidak sempurna menyambung perjuanganmu,
Ya Rasullulah..
Layak dirimu digelar Kekasih Allah,
banggaku menjadi ummatmu,
sungguh tinggi akhlak budi pekertimu tiada tolak bandingannya,
musuh memaki hamun malah melemparkan najis
tetap dimaafkanmu,
Ya Rasullulah...
bilakah aku dapat menatap wajahmu yg suci,
bertuahnya mereka yg hidup sezaman denganmu,
hadirlah dlm mimpiku
hadirlah syafaatmu kepadku di akhirat nanti
aku merinduimu sepanjang hayatku..
محمد رسول وحبيب الله
اللهم صلى على سيدنا محمد

Friday, January 7, 2011

Sinar Baru di Tahun Baru





Salam Maal Hijrah dan Selamat Tahun Baru bagi semua pelawat-pelawat blog ini.Segala Puji bagi Allah yang masih memberi peluang untuk kita terus bernafas di bumiNYA. Semoga perjalanan hidup kita diiringi dengan rahmat dan kasih sayang dari Allah senantiasa..ameen.

Sudah lama tidak mencoret diruangan ini.Mungkin terlalu sibuk dengan urusan dunia, moga tidak melalaikan, siap dengan tak ingat password pula tu, alhamdulilah semua dapat diatasi dengan pertolonganMU ya ALLAH..

Tanpa disedari kita sudah melangkah ke 1432 masihi dan 2011 bagi tahun hijrah..cepatnya masa berlalu. Umur pun dah semakin bertambah semakin tua. Bagaimana pula dengan iman dan ibadah kita? Diharap juga bertambah seiring dengan kematangan usia, insyaAllah.

Apakah azam tahun baru anda tahun ini? soalan yang sering diajukan apabila berada di tahun baru. Semestinya lebih baik dan lebih cemerlang dari tahun-tahun yang sebelumnya di samping menunaikan azam tahun lepas yang belum tertunai.

Dalam hidup ini setiap insan mesti mempunyai matlamat hidup masing-masing. Di dalam Al-Quran Allah telah memberi garis panduan tujuan kita hidup di alam ini. Firman Allah SWT:" Tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaku.."

Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah tuhan seru sekelian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukanNya . Dan dengan
demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Muslim..Terjemahan Doa Iftitah.

Akhir kata, semoga aqidah dan ketaqwaan kepada Allah semakin meningkat di tahun baru ini. Dan Semoga impian dan hajat yang ingin ditunaikan tercapai..ameen ya Rabb

Sunday, May 16, 2010

MasyaAllah..Hebatnya Kekuasaan Allah

Followers